Engkau mengatakan Ini Khabar Gembira??
Pada suatu ketika di kota Basrah ada dua orang ahli hadis (Muhaddithin) yang sangat hebat. Mereka ialah :
1. Muhammad bin Bashar yang terkenal dengan gelaran Bundar.
2. Muhammad bin Al-Muthanna yang biasa dipanggil Abu Musa al-Zamin.
Kedua-dua orang ulama ini bersaing dalam bidang ilmu terutamanya ilmu Hadis. Penduduk Basrah melihat Abu Musa lebih alim daripada Bundar. Namun pelajar asing yang datang ke Basrah lebih suka menimba ilmu daripada Bundar......
Muhammad bin Musayab bercerita :
Pada hari kematian Bundar, seseorang datang ke rumah Abu Musa.
Dia berkata : "Aku membawa khabar gembira untuk tuan, wahai Abu Musa. Bundar telah meninggal dunia."Orang itu menyangka Abu Musa akan bergembira mendengar kematian pesaingnya. Dia membayangkan Abu Musa akan menjadi satu-satunya ahli hadis (Muhaddithin) yang menjadi rujukan para pelajar di Basrah selepas ini.
Namun sungguh mengejutkan hal yang berlaku. Abu Musa menunjukkan kemarahannya dengan sikap lelaki itu. Beliau bersumpah tidak akan menyampaikan hadis kepada sesiapa lagi.
Abu Musa berkata : "Engkau mengatakan ini khabar gembira? Aku bersumpah akan melakukan ibadah haji 30 kali jika aku menyampaikan hadis selepas ini!"
Abu Musa menjaga sumpah ini sehingga beliau meninggal dunia 90 hari kemudian......