Azam Dan Tawakal.

"Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya".
Surah Ali-Imran : Ayat 159
Tafsiran Ringkas:
Setiap manusia menaruh harapan untuk mengecapi bahagia dan mengimpikan kecemerlangan segera hadir dalam setiap detik kehidupan yang di lalui. Tiada seorangpun yang bergelar manusia itu mengingankan sesuatu yang buruk dan malang menimpa mereka. Malah kegagalan adalah sesuatu yang di minta dijauhkan.

Azam boleh diertikan sebagai kemahuan ( keinginan, cita-cita dan sebagainya ) yang sangat kuat. Berazam pula mempunyai pengertian mempunyai azam, bertujuan (dengan seungguhnya), bercita-cita kuat untuk melakukan atau mencapai sesuatu. Dalam erti kata lain, azam boleh bertindak sebagai penentu darjah kesungguhan seseorang dalam mencapai matlamat. Azam juga boleh menjadi pemangkin kepada keberanian seseorang untuk melakukan sesuatu melebihi daripada tahap biasa.Meneneliti dan sedar akan pengertian azam itu, tentu ramai setuju bahawa setiap orang memang perlu malah dituntut mempunyai azam. Namun pembentukan azam tidak semestinya hanya dibuat pada awal tahun semata-mata. Kita jangan terikat dengan masa ketika mahu membuat azam.
Orang yang berjaya tentunya akan sentiasa membina azam, tidak kira masa dan tidak hanya ketika munculnya tahun baru. Azam baru akan sentiasa dibina setiap kali azam lama dapat dicapai. Orang sebegini sentiasa berfikiran positif dan sentiasa mempunyai semangat baru dalam menempuhi kehidupannya.

Azam adalah kuasa pengerak. Ia mencetus usaha, semangat dan kerajinan seseorang untuk menjadikan sebuah impian dijelmakan dalam bentuk yang nyata. Bukan hanya wujud di alam khayalan dan hanya sekadar mimpi sahaja. Ia sesuatu yang kita kehendaki dan kita perlukan. Terlampau inginkan. Hendak sangat.
Kita perlu juga sedar dan ingat, untuk mengecapi bahagia dan jaya itu bukan sesuatu yang mudah. Ia memerlukan semangat dan tekad yang kuat tanpa menganal erti putus asa . Semangat dan tekad yang kuat mengerakkan minda dan anggota untuk terus berusaha untuk merealisasikan impian berbekalkan keazaman yang kuat. Kejayaan terbentang luas di hadapan.Dalam ayat di atas juga, mengajak kita bertawakal. Dua ciri penting iman ialah bertawakal kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya. Inilah yang membezakan orang beriman dengan orang yang tidak beriman.
Setiap manusia boleh sahaja merancang atau merencanakan sesuatu. Begini dan begitu, mengikut kemahuan dan azam masing-masing. Banyak masa di habiskan untuk memikirkan jalan-jalan dan keperluan untuk mencapai sesuatu keinginan atau azam. Seboleh-boleh ingin digapai dan dicapai. Tetapi siapakah yang boleh memastikan setiap apa yang dirancang itu akan tercapai?.
Tawakal itu bererti berusaha bersungguh-sungguh dan sebaik yang mungkin kemudian menyerahkan segala keputusan dan urusan kepada Allah, tuhan yang berkuasa terhadap sesuatu termasuk kita yang bergelar manusia. Tiada sesuatu terlepas dari perhatian dan ketentuan-Nya. Seorang yang bergelar mukmin yakin atas kenyataan bahwa "Allah mengatur semua urusan." Ar-Ra'du:2.
Kita menyadari bahwa setiap kejadian sudah ditakdirkan sebelumnya. Itulah sebabnya kita tidak pernah menganggap suatu kejadian sebagai sesuatu yang "sial" walaupun nampaknya "menyialkan". Hal itu kerana kita meyakini bahawa setiap ciptaan Allah itu tidak ada yang sia-sia sehingga kita yakin bahwa kejadian apapun yang menimpa hidup seorang mukmin adalah ditujukan untuk kebaikan. Bahkan pada perkara yang paling buruk sekalipun, seorang mukmin hendaknya teguh dengan keazaman yang kuat dan bertawakal kepada Allah hingga Allah menukarnya menjadi suatu perkara yang baik.Konsep tawakal jangan di salah ertikan . Ia bukan membawa maksud menyerahkan segala sesuatu kepada Allah dan berhenti berbuat sesuatu dalam urusan sehari-hari. Seorang mukmin terlibat dalam setiap tingkat permasalahan dan memikul semua tanggung jawab. Jangan sekali-kali lari dari dari masalah dan tanggungjawab itu.
Bertawakal kepada Allah terletak pada kesadaran bahawa segala sesuatu berada dalam kawalan Allah dan tetap bertindak dan berusaha dengan sebaik-baiknya.Ayat di atas juga menegaskan bahawa Allah amat menyayangi orang-orang yang bertawakal. Dalam kehidupan yang serba sulit, seorang mukmin tetap berasa tenang dan damai .
Ketika membaca Al-Qur'an, kita menemukan bahawa para Rasul dan pengikutnya mengalami kejadian-kejadian yang begitu getir dan menyulitkan. Hampir setiap orang beriman difitnah, diancam, dianiaya, dihina, dan sebagiannya lagi dibunuh. Namun semua ini tidak mematahkan semangat mereka sekalipun datang badai besar dan angkatan perang terkuat, mereka tetap teguh dan kuat serta tidak pernah menyerah kalah. Mereka mampu berbuat demikian kerana menyadari bahawa segala sesuatu diciptakan oleh Allah dan percaya bahwa semua itu akan membawa kebaikan.
Orang beriman menyadari bahawa Allah selalu menyediakan bimbingan kepada mereka dan tidak membebani melebihi kemampuan seseorang memikul. Di dalam Al-Qur'an, ratusan ayat memerintahkan manusia untuk bertawakal dan mematuhi Allah.Maka berazamlah, sesungguhnya orang yang tidak mempunyai azam itu seolah-olah seseorang yang telah mati dan bertawakallah sesungguh Allah sayang dan kasih akan orang-orang yang bertawakal.
Teruskan perjuangan. Allah bersama-sama orang yang benar dan sabar.