Pada tanggal 12 Febuari yang lalu, Panitia Pendidikan Islam SASER dengan kerjasama Badan Dakwah dan Rohani (BADAR) telah mengadakan program teori dan praktikal haji bagi pelajar-pelajar Islam tingkatan 5. Kami menggunakan kawasan di seluruh pelosok SASER sebagai ganti kepada kawasan sebenar ketika menunaikan ibadah haji. Sementara itu, pihak Tabung Haji sebagai pengelola program telah menyumbangkan replika kaabah dan jamrah. Program ini bermula dari pukul 8.00am - 1.00pm. Program ini dijalankan bertujuan untuk memberi pendedahan awal kepada semua pelajar Islam tingkatan 5 dalam menjalankan Ibadah Haji dan Umrah secara menyeluruh. Melalui program teori dan praktikal haji ini, para pelajar dapat mengetahui dan mempelajari ilmu-ilmu teori berkaitan persediaan haji dan umrah dan berpeluang untuk melakukan amali ibadah haji termasuk memakai kain ihram, melontar jamrah, bertawaf mengelilingi kaabah dan bersaie. Para pelajar juga didedahkan dengan amalan-amalan sunat ketika ihram dan perkara-perkara yang haram dilakukan ketika dalam ihram. Sebelum program amali bermula, para pelajar diberi setiap seorang modul berkaitan doa-doa dan bacaan sepanjang melakukan ibadah haji selain ceramah berkenaan ibadah haji. Selepas selesai program teori dan amali haji, para pelajar dikehendaki berkumpul semula di surau untuk program kuiz penilaian tahap pemahaman pelajar mengenai program yang telah dijalankan.