Nadwah Kepimpinan Badar Tingkatan 4


     Pada 7 Oktober 2010, Badar Saser telah mengadakan satu program khas untuk Badar tingkatan 4. Program ini telah dijalankan di sekitar kawasan Sekolah Menengah Sains Seremban. Pihak sekolah kami telah meluluskan program anjuran bersama Futuwwah Enterprise iaitu sebuah organisasi NGO bermula pada pagi tersebut dan tamat setelah selesai solat Asar.

     Antara objektif kursus ini adalah untuk memantapkan ukhwah antara ahli Badar tingkatan 4 dan juga sesama ahli Badar tingkatan 5 supaya mereka dapat bergerak dalam sebuah organisasi yang besar. Selain itu, ia bertujuan untuk memberi pendedahan disamping perkongsian tentang kaedah kepimpinanan bersumberkan Al-Quran dan Sunnah Rasul SAW kepada para pemimpin pelajar.

    Program telah dimulakan pada pagi Sabtu bermula jam 8:00 a.m. Kami telah bersiap sedia sejak jam 7:30 pagi lagi. Setelah siap persiapan seperti LCD, mikrofon dan komputer riba, kami berehat sebentar sementara menunggu penceramah fasilitator-fasilitator sampai. Mereka ternyata amat menepati masa apabila mereka berjaya sampai sebelum jam 8:00 pagi dan telah disambut baik oleh pihak Badar. Majlis telah dimulakan  oleh Ustaz Kaspuddin dan diteruskan lagi dengan sesi pengenalan diri para fasilitator. Kesemua fasiltator yang menghadirkan diri ialah para lepasan IPT dalam bidang perubatan, kejuruteraan dan bidang biologi.


Antara fasilitator yang hadir

Ucapan pembukaan oleh Dr Asyraf


     Slot pertama program telah diisi oleh penceramah profesional yang merupakan seorang jurutera petroleum iaitu Encik Azral. Beliau bekerja di bawah Petronas. Dalam slot tersebut, beliau telah memberi motivasi dalam pelajaran kepada ahli-ahli Badar tingkatan 4 di bawah tajuk "ALLAH TECHNOLOGY VS. HUMAN TECHNOLOGY". Beliau telah menceritakan pengalaman beliau semasa bekerja termasuk perkara-perkara aneh seperti penemuan spesis-spesis baru di lautan semasa kerja cari gali minyak diadakan. Antara teknologi Allah yang dibincangkan ialah ciptaan zirafah dan buruk belatuk. Kami semua terpegun dengan kepetahan, kebijaksanaan dan kemesraan beliau dalam memberikan ceramah.
Encik Azral sedang berucap
Khusyuk mendengar petikan Al-Quran yang dibacakan

     Aktiviti telah diteruskan dengan slot "Kenapa Usrah" yang telah disampaikan oleh fasilitator-fasilitator sukarela. Kami telah dipecahkan kepada lima kumpulan yang telah dianggotai seramai enam orang setiap kumpulan. Intisari slot bagi setiap kumpulan adalah berbeza bergantung kepada fasilitator. Bagi  Dr Asyraf, beliau menekankan prinsip berdakwah yang betul dalam usrah dan ciri-ciri usrah yang baik.


Salah sebuah kumpulan usrah
   Setelah selesai slot tersebut, maka tamatlah program nadwah bersawa Futuwwah Enterprise. Kami sempat merakamkan kenangan manis bersama para fasilitator.