Waktu subuh adalah waktu penentu kepada kehidupan buat seseorang insan. Inilah waktunya apabila bermulanya kehidupan setelah insan mati buat sementara. Tidak menghairankan bahawa waktu subuh adalah salah satu daripada lima waktu solat yang wajib disempurnakan.
Waktu subuh hari adalah ujian kepada segala kekuatan. Kekuatan untuk bangun di awal pagi melepaskan diri daripada dakapan erat syaitan yang membisikkan, kekuatan untuk terus bingkas keluar dari litupan selimut hangat dan bantal empuk, malahan kekuatan untuk mengenakan air yang dingin ke muka, tangan, dahi dan ke kaki sebelum lantas bergerak ke tempat istimewa dan bermunajat bersama-sama insan pilihan Tuhan. Ini adalah kekuatan yang luar biasa yang boleh dimiliki oleh sesiapa sahaja selagi dia mempunyai keinginan jiwa yang tinggi.
Perkara yang sama ini juga telah dijadikan indikator dan penanda aras kepada kekuatan generasi pejuang ketika berlakunya peperangan-peperangan besar di zaman yang terdahulu. Kekuatan kebangkitan dan kekuatan barisan ketenteraan bukanlah kepada fizikal dan persiapan kelengkapan semata-mata, malahan persiapan yang lebih penting ialah persiapan kekuatan generasi pejuang di dalam menagih simpati untuk menang daripada Ilahi.
Tidak hairanlah bahawa inilah penanda kekuatan yang telah digunakan oleh Solahuddin al Ayyubi dahulunya sebelum menang ketika mendepani kekuatan tentera Salib yang merupakan kesatuan gabungan ketenteraan daripada 22 buah negara-negara Eropah.
Tidak hairanlah juga bahawa soalan-soalan yang ditujukan oleh Sultan Muhammad Al-Fateh mengikut urutan menggambarkan peringkat kekuatan seseorang. Lima waktu solat fardhu kemudian solat rawatib dan kemudiannya solat tahajjud. Di waktu penghujung malam sehingga subuh itu dijadikan indikator terakhir kepada kekuatan para pejuangnya. Tidak dapat dibayangkan di manakah kedudukan kita jika berada di dalam barisan tentera baginda al-Fateh. Mungkin juga kita dan barisan pemuda kebangkitan kini bakal berada di barisan tercorot sekali.
Sesungguhnya solat yang paling berat bagi orang munafik adalah solat Isyak dan solat Subuh. Sekiranya mereka mengetahui apa yang terkandung di dalamnya, nescaya mereka akan mendatangi keduanya sekalipun dengan merangkak. (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Apabila Rasulullah s.a.w. meragukan keimanan seseorang, beliau akan menelitinya pada ketika solat Subuh. Apabila beliau tidak mendapati orang tadi solat Subuh (di masjid), maka benarlah apa yang beliau ragukan dalam hati.
Di sebalik pelaksanaan dua rakaat di ambang fajar ini, tersimpan rahsia yang menakjubkan. Banyak permasalahan yang bila dirujuk, bersumber dari pelaksanaan solat Subuh yang diringan-ringankan. Itulah sebabnya, para sahabat Rasulullah SAW berusaha sekuat tenaga agar tidak kehilangan waktu emas itu.
SEORANG penguasa Yahudi berkata: “Kami hanya akan takut terhadap umat Islam jika mereka telah melaksanakan solat subuh seperti melaksanakan solat Jumaat.” (Buku Misteri Solat Subuh oleh Dr Raghib As-Sirjani).
“Sungguh masjid-masjid di seluruh penjuru dunia ini merintih pedih dan mengeluh kepada Allah kerana dijauhi oleh majoriti kaum muslimin ketika solat subuh sedang dilaksanakan. Kalau bukan kerana ketentuan Allah bahawa benda-benda mati itu tidak bisa bicara, tentu manusia dapat mendengar suara rintihan dan gemuruh tangis masjid-masjid itu mengadu kepada Rabbnya Yang Agung”. (Buku Keajaiban Solat Subuh oleh Dr. Imad Ali Abdus Sami Husain).
Memang, tanpa solat Subuh secara berjemaah, umat Islam tidak lagi berwibawa. Tak selayaknya kaum muslimin mengharapkan kemuliaan, kehormatan, dan kejayaan, bila mereka tidak memperhatikan solat ini.
Bagaimana orang-orang muslim tidur di waktu Subuh, lalu dia berdoa pada waktu Dhuha atau waktu Zhuhur atau waktu petang hari (Asar), memohon kemenangan, keteguhan dan kejayaan di muka bumi. Bagaimana mungkin?
Sesungguhnya agama ini tidak akan mendapatkan kemenangan, kecuali telah memenuhi semua syarat-syaratnya. Iaitu dengan melaksanakan ibadah, konsisten dengan akidah, berakhlak mulia, mengikuti ajaran-Nya, tidak melanggar larangan-Nya, dan tidak sedikit pun meninggalkannya, baik yang ringan apalagi yang sangat penting.
Subhanallah! Allah s.w.t. akan mengubah apa yang terjadi di muka bumi ini dari kegelapan menjadi keadilan, dari kerosakan menuju kebaikan. Semua itu terjadi pada waktu yang mulia, ialah waktu Subuh. Berhati-hatilah, jangan sampai tertidur pada saat yang mulia ini.
Allah s.w.t. akan memberikan jaminan kepada orang yang menjaga solat Subuhnya, Iaitu dibebaskan dari seksa neraka jahanam.
Diriwayatkan dari Ammarah bin Ruwainah r.a., ia berkata:
Saya mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidak akan masuk neraka, orang yang solat sebelum terbit matahari dan sebelum terbenam matahari.” (HR. Muslim).
Kesimpulan : Subuh - Suatu Turning Point Dalam Permulaan Kehidupan