“Berdoalah kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu. Sesungguhnya orang yang menyombongkan diri daripada menyembah-Ku akan masuk neraka jahanam dalam keadaan hina-dina.”
(Surah Ghafir 40: 60)Tafsiran Ringkas :
Doa ialah meminta daripada Allah dengan penuh rasa rendah diri agar dikurniakan sesuatu kebaikan dan dijauhi dari kejahatan, fitnah, bala dan bencana. Kita berdoa bukan untuk memberitahu Allah apa yang kita hendak kerana tanpa diberitahu pun Allah sedia mengetahui segala sesuatu. Allah Maha Mengetahui segala apa yang kita zahirkan mahupun apa yang kita sembunyikan.
Jadi perlu apa lagi kita berdoa?
Imam Ibn Ataillah menjawab persoalan ini dengan berkata,
“…hendaknya doa permintaanmu adalah untuk menunjukkan sifat kehambaanmu dan menunaikan kewajipan terhadap kemuliaan Tuhanmu.”
Berdoa sebenarnya adalah satu tugas pengabdian. Doa adalah untuk membuktikan sifat kehambaan kita di hadapan Allah s.w.t. Dengan berdoa kita mengakui kelemahan, kemiskinan, kehinaan, kejahilan dan lain-lain sifat kehambaan kita di sisi-Nya.
Sebagai hamba kita memerlukan Allah lebih daripada segala-galanya dalam hidup ini. Dan sebagai hamba kita wajib memuliakan Allah setiap masa. Inilah hakikat doa.Oleh sebab itu, sesiapa yang tidak berdoa, boleh dikira sombong terhadap Allah. Dia secara langsung seperti tidak mengakui sifat-sifat kehambaannya yang rendah, miskin, jahil dan hina itu. Dia seolah-olah berasa pandai, kaya, gagah dan mulia dan
tidak memerlukan Allah lagi dalam kehidupan ini. Pada hal sebagai hamba Allah dia sebenarnya sangat rapuh untuk menjalani kehidupan di dunia yang penuh cabaran ini. Selagi kita sedar kedudukan kita sebagai hamba, maka selagi itulah kita akan terus berdoa kepada-Nya.
Inilah prinsip yang dipegang dan diamalkan oleh orang yang hampir dengan Allah. Para Rasul, nabi dan umumnya salafussoleh pada zaman dahulu ialah orang yang membudayakan doa dalam kehidupan harian, mingguan dan tahunan pada setiap fasa kehidupan mereka. Mereka sentiasa sedar bahawa mereka ialah hamba Allah dan sebagai hamba, mereka mesti selalu berhubung dengan-Nya. Dan doa adalah “medium” perhubungan itu.Doa adalah cara hidup yang menjadi tradisi orang soleh. Bermula daripada bangun tidur, membersihkan diri, masuk tandas, keluar tandas, memakai baju, melihat cermin, makan, minum, memakai kasut, menaiki kenderaan, melihat pemandangan, bersin, menguap hinggalah tidur semula…semuanya ada doanya yang khusus. Malah, untuk melakukan hubungan suami isteri pun, mesti dimulakan dengan doa.Itulah uniknya Islam berbanding dengan agama-agama yang lain. Ajaran Islam begitu kaya dengan doa. Bukan sahaja untuk melaksanakan perkara yang besar, tetapi untuk melaksanakan perkara yang dipandang remeh sekali pun, Islam mengajar kita untuk berdoa.
Allah mendidik manusia agar selalu dan sentiasa berdoa kepada-Nya. Bukan itu sahaja, malah Allah mengajar manusia tentang doa yang bagaimana seharusnya diajukan kepada-Nya. Ayat-ayat al-Quran yang berupa doa ialah bukti betapa Allah begitu menitikberatkan agar manusia berdoa kepada-Nya. Tidak syak lagi, berdoa adalah satu ciri orang yang “melalui jalan yang lurus dan diberi nikmat oleh Allah” seperti yang ditegaskan dalam surah al-Fatihah.
Mengapa begitu sekali kepentingan doa kepada manusia? Ini disebabkan beberapa faktor. Antaranya termasuk:
1. Mengekalkan Hubungan dengan Allah Setiap Masa2. Keupayaan Melakukan Perubahan ke Arah Kebaikan Secara Berterusan3. Didampingi oleh Malaikat dan Menghalau Syaitan4. Membentangkan Masalah dengan Jelas dan Tuntas5. Melahirkan Rasa Berkongsi Menghadapi Sebarang Kebuntuan6. Mengaktifkan Diri untuk Berusaha7. Menghindar daripada Penyakit hati, fizikal dan mental.
Ingatlah bahawa perbezaan antara orang yang berdoa dengan orang yang tidak berdoa umpama orang hidup dengan orang yang mati. Dengan berdoa kita mengaktifkan tenaga dalaman kita yang mampu menghadapi apa jua masalah dan cabaran hidup. Jangan cuba hidup bersendirian kerana hidup ini perlukan teman. Dan sebaik-baik “teman” ialah “Teman daerah tinggi” (al-rafiq al-a‘la) yang disebut berulang kali oleh Rasulullah s.a.w. menjelang wafatnya.
Jadi, berdoalah… nescaya kita tidak akan bersendirian dalam menghadapi apa jua masalah dan kebuntuan. Ada “Teman daerah tinggi” yang setia dan sentiasa mendengarnya!
Renungkan ungkapan berikut: “Doa diperkenankan bukan semasa kita meminta tetapi semasa kita berusaha!”