Pada tarikh 3 Julai 2010 bersamaan 20 Rejab 1431H, Badan Dakwah dan Rohani Sekolah Menengah Sains Seremban (SASER) dan Panitia Pendidikan Islam SASER dengan kerjasama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) Cawangan Seremban telah menganjurkan Malam Penghayatan Islam yang merupakan program tahunan di SASER bertempat di Dewan Putera dan sekitar Blok Pentadbiran sekolah. Program ini berlangsung pada hari Sabtu, bermula dari pukul 2.00 petang sehinggalah 10.30 malam. Pada tahun ini, tema yang digunakan ialah “Airmata Palestin, Renungan Bersama”. Objektif program ini adalah untuk menghayati keindahan seni Islam sebagai agama yang luhur dan suci,mendedahkan cara kehidupan Islam yang sebenar kepada pelajar,memberi peluang kepada pelajar menunjukkan bakat mereka melalui persembahan yang dijalankan, mempraktikkan cara menyeimbangkan kehidupan dunia dan akhirat, mengingati dan menghayati setiap perjuangan serta kepayahan yang dihadapi oleh masyarakat Palestin dalam memperjuangkan agama, bangsa dan negara mereka, menghayati erti kemerdekaan dan kebebasan yang telah kita kecapi selama ini.
Tepat jam 2.30 petang,wakil-wakil dari ISMA tiba ke perkarangan sekolah dan kerja-kerja menyiapkan pameran dilakukan dengan kerjasama pihak BADAR tingkatan 5. Pada masa yang sama, pihak BADAR mengadakan jualan makanan yang mendapat sambutan hangat daripada para pelajar. Pada jam 3.00 petang, pertandingan Nasyid, Deklamasi Sajak dan Menulis Khat diadakan di Dewan Putera. Pertandingan diadili oleh guru-guru SASER yang berkebolehan dan berpengalaman. Perjalanan dimeriahkan dengan kehadiran para pelajar untuk memberi sokongan kepada kediaman masing-masing. Pada pukul 4.15 petang, majlis berehat dan berakhirnya sesi petang.
Pameran oleh ISMA
Peserta Khat dari Lekir
Kumpulan nasyid Jebat
Kumpulan nasyid Kasturi sedang beraksi
Salah seorang peserta sajak
Jualan makanan untuk pelajar sepanjang program berjalan
Selesai solat Maghrib, para pelajar bergegas ke Dewan Putera dengan memakai baju Melayu putih dan bersandal. Semua ahli BADAR dikehendaki memakai jubah dan serban berwarna putih pada malam tersebut. Pameran dan jualan buku serta cenderahati yang diadakan mendapat sambutan para pelajar dan guru-guru yang hadir. Lebih kurang jam 8.30 malam, majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan dari Pengerusi Majlis, Mohd Hanafi Salehuddin dan Khairul Anuar bin Yusof yang berbaju Melayu merah lengkap bersamping. Bacaan doa diketuai oleh Muhammad Syahmi bin Baderus. Kemudian, ucapan Pembukaan oleh Pengarah Program Malam Penghayatan Islam 2010, Saudara Adib ’Afifi bin Abdul Rahim merangkap YDP BADAR SASER, diikuti dengan Ucapan Perasmian oleh Encik Sabuddin bin Haji Sani, Pengetua Sekolah Menengah Sains Seremban.
Penampilan calon-calon Badar tingkatan 4
Program bersambung dengan ceramah Palestin oleh Mejar Ustaz Nazri bin Musman, Perunding Aman Palestin merangkap Pengarah Kelab Remaja ISMA Pusat. Majlis dimeriahkan lagi dengan Pementasan Drama oleh calon BADAR tingkatan 4 dan persembahan nasyid Sautul Firdausi dengan lagunya, ’Di manakah Abi?’. Seterusnya, Penyerahan Derma kepada Wakil ISMA dijalankan diwakili oleh Tuan Pengetua dari pihak SASER. Majlis diteruskan lagi dengan penyampaian hadiah dan cenderamata kepada para pemenang dan hakim-hakim pertandingan. Sebelum tirai ditutup, para hadirin dikejutkan lagi dengan persembahan deklamasi sajak penutup oleh Muhammad Adi Azfar bin Rosli yang sungguh memukau dan menginsafkan. Majlis bersurai pada jam 10.30 malam.
Mejar Ustaz Nazri sedang memberi ceramah
Sesungguhnya, program ini telah mendapat kejayaan dalam memberi kesedaran dan keinsafan kepada para pelajar dan guru-guru berkenaan peri pentingnya Palestin dan Al-Aqsa kepada umat Islam. Para hadirin juga didedahkan dengan sejarah Palestin serta muslihat-muslihat Isreal Zionis, Britain dan sekutunya Amerika Syarikat dalam usaha mewujudkan negara haram Israel. Tambahan pula, bakat-bakat baru pelajar tingkatan empat dalam bidang seni dapat dipupuk dan dikembangkan secara sihat dan positif. Kami juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak yang terlibat sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Kami, pihak BADAR dan Panitia Pendidikan Islam SASER amat berharap agar program-program bercorakkan kerohanian, pendidikan di samping menghiburkan seperti Malam Penghayatan Islam ini dapat diadakan pada tahun-tahun akan datang.