Pernahkah anda pergi ke suatu majlis ilmu seperti kuliah agama, ceramah perdana, kem mantapan diri dan lain-lain lagi di mana anda merasakan diri anda benar-benar di’brainwash’ sehingga anda menitis air mata menandakan penyesalan melalui jalan hidup penuh kemaksiatan? Tamat sahaja kem tersebut, anda berasa sangat insaf dan berkeinginan untuk memulakan hidup yang baru. Tetapi tidak sampai sebulan kemudian, anda kembali bergelumang dengan maksiat. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini?
Atau…
Anda sedang dilanda pelbagai masalah. Sudahlah pelajaran merosot, anda pula dibuang kekasih yang disayangi. Anda berusaha menyelamatkan hubungan tersebut, tetapi menghadapi kegagalan yang teruk. Anda benar-benar tertekan, tidak punya penyelesaian. Tiba-tiba anda terdetik membuka laman web iluvislam.com, terbaca satu artikel menginsafkan menyedari betapa silapnya hubungan cinta sebelum nikah. Sejurus selepas itu, anda terus insaf dan mula mendekati cinta Allah dan RasulNya. Namun, cinta hakiki tersebut tak bertahan lama, anda akhirnya akur menerima kehadiran sekali lagi cinta yang tiada kepastian. Pernahkah anda mengalami situasi sebegini pula?
---------------------------------------------------------------
Apakah persamaan antara kedua-dua situasi di atas? Ya, walaupun tampak melalui jalan yang berbeza, tetapi kedua-dua situasi melalui tempoh penginsafan, namun amat malang sekali ianya tidak bertahan lama, yang kita panggil di sini; INSAF EKSPRESS. Apakah yang menyebabkan kita melalui insaf sekejap ini? Cubalah kita muhasabah sebentar. Di sini kita cuba senaraikan segala sebab musabab yang menyebabkan diri anda tewas, menggadaikan keinsafan diri.
Tarikan rakan?
Apabila anda berubah dan berkeinginan untuk terus dengan watak yang berubah tersebut, tetapi anda kena ingat rakan-rakan anda masih lagi seseorang watak yang lama. Anda sudah ingin mula mendekati masjid tetapi dalam masa yang sama rakan-rakan baik anda menonton wayang. Apakah yang paling kuat mempengaruh anda? Rakan baik anda mengajak anda menemani dia lepak bersama-sama rakan dia yang lain walaupun hari sudah lewat malam, tambah-tambah lagi bercampuran lelaki perempuan. Sanggupkah anda melukakan hati rakan baik anda?