Menurut ustaz, "Bulan Ramadhan ibarat ladang. Allah S.W.T dah beri benih dan baja. Terserah kepada kita apa yang kita nak buat. Terpulang kepada kita macam mana kita nak tanam di ladang yang disediakan Allah S.W.T ni. Allah S.W.T janji, jika kita manfaatkan betul-betul peluang ini, maka hasil daripada apa yang kita tanam ni akan dilipat-kali gandakan."
Pesan ustaz lagi, "Kalau dulu tanam padi hasil 3-4 lori, maka pada bulan ni insya-Allah jika kita betul-betul pulun maka mungkin hasilnya melonjak naik kepada 7-8 lori. Inilah Ramadhan... Ibadat sunat bila dibuat dikurniakan pahala ibadat wajib, solat jemaah yang dijanjikan 27 kali ganda digandakan kepada berpuluh-puluh malah beratus kali ganda. Allahu Akbar... Betapa kasihnya Allah S.W.T kepada hamba-Nya. Boleh lagi ka kita nak dakwa depan Allah S.W.T nanti kononnya kita tak dak peluang nak ibadat sedangkan Allah S.W.T dah sediakan satu bulan daripada 12 bulan dengan pelbagai tawaran menarik. Cuma terpulang kepada kita sama ada nak rebut atau nak buat dek ja ka."
Hari-hari yang berlalu sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini tidak akan datang lagi, yang tinggal hanyalah saki-baki hari Ramadhan tahun 1432H. Bulan Ramadhan tahun 1433H pula belum tentu kita dapat rasai. Jadi, ayuh! Rebutlah peluang sepanjang bulan Ramadhan yang masih berbaki ini. Bulan ini juga bulan untuk kita mendidik nafsu kita dan memperbaiki diri.
Keistimewaan bulan Ramadhan :
- Bulan yang melonjakkan semangat jihad
- Bulan mendidik diri agar istiqamah solat jemaah terutamnya solat Subuh dan Isya'
- Bulan mendidik diri agar istiqamah ke masjid
- Bulan mendidik nafsu agar tunduk kepada Allah S.W.T
- Bulan mendidik diri agar tegar di jalan perjuangan
Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
'Umatku telah dikurniakan dengan lima perkara yang istimewa yang belum dikurniakan kepada sesiapapun sebelum mereka. Bau mulut daripada seorang Islam yang berpuasa itu terlebih harum di sisi Allah daripada haruman kasturi, ikan-ikan di lautan memohon keampunan ke atas mereka sehinggalah mereka berbuka puasa. Allah S.W.T mempersiapkan serta menghiasi Syurganya setiap hari kemudian berfirman kepadanya: 'Masanya hampir tiba bilamana hamba-hamba-Ku yang taat akan meninggalkan segala halangan-halangan yang besar (di dunia) dan akan mendatangimu. Pada bulan ini Syaitan-Syaitan dirantaikan supaya mereka tidak dapat menggoda manusia ke arah maksiat yang biasa mereka lakukan pada bulan-bulan selain Ramadhan. Pada malam-malam terakhir Ramadhan (orang-orang berpuasa ini) akan diampunkan'. Maka sahabat-sahabat Rasulullah S.A.W pun bertanya: 'Wahai pesuruh Allah, adakah malam itu malam Lailatul Qadar? 'Dijawab oleh Rasulullah S.A.W: 'Tidak, tetapi selayaknya seorang yang beramal itu di beri balasan setelah menyempurnakan tugasannya.'
Oleh itu, marilah kita sama-sama merebut peluang yang masih berbaki ini. Moga-moga bulan Ramadhan tahun ini menjadi Ramadhan terbaik yang pernah kita lalui. Insya-Allah...